Thursday, May 16, 2013

Ibtila' di Jalan Perjuangan

Ustaz Nasrudin bin Hasan,16 Mei 2013

Perjuangan Islam ini sememangnya telah dijanjikan ibtila' (ujian) yang bakal merintang di sepanjang jalannya. Perit, jerih dan penat lelah dalam menggalas beban amanah perjuangan menjadi sunnah yang telah ditempa para Nabi dan Rasul. Cumanya, sebagai insan yang serba dhaif ini terkadang seperti mahu mengaku kalah. Hanya akidah perjuangan yang dibina sekian lama masih teguh membentengi diri.

Lebih menarik, tekanan dan halangan luaran tidaklah menjadikan diri kita lemah, tetapi apabila berdepan dengan ujian dalaman terutama atas apa yang berlaku pada diri kita sendiri sementara orang lain pastinya tidak mengetahui penderitaan yang sedang kita alami.

Terkadang hati pejuang ini akan menangis sendirian melepaskan berat beban yang menindih guna mencari nafas baru dan saki baki kekuatan diri. Mungkin cara ini berkesan untuk meringankan beban perasaan bila berdepan dengan susah sukar perjuangan.

Saya masih ingat bagaimana bicara Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat seketika dahulu semasa saya mengunjungi beliau dirumahnya. Tuan Guru menceritakan pengalamannya sewaktu beliau seorang diri menjadi wakil rakyat di Parlimen mewakili PAS.

"Terkadang memandu seorang diri ke Kuala Lumpur untuk menghadiri sidang parlimen dengan keadaan permukaan jalan tidaklah sebaik apa yang kita nikmati hari ini. Demikian juga ke hulu dan ke hilir memenuhi undangan ceramah seorang diri memandu kereta, balik jauh-jauh malam. Menangis saya sambil memandu seorang diri, peritnya nak bawa Islam pada masyarakat Melayu ketika itu. Sampai di rumah pula, buka saji, makanan tak ada dan isteri sudah nyenyak tidur..."

Kala terasa penat seharian di lapangan, saya segera mengingati cerita Tok Guru, terasa nyaman jiwa dan kembali segar seperti kembali dari satu sesi motivasi. Inilah juga yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, dalam satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abu Laith as-Samarqandi dalam musnadnya dari Ato' bin Abi Ribah (bermaksud), "Apabila seseorang kamu ditimpa musibah maka ingatlah musibah yang turut menimpaku kerana sesungguhnya ia adalah sebesar-besar musibah."

Pastinya jauh langit dan bumi jika dibanding tahap tekanan dan bebanan yang kita hadapi pada hari ini dengan apa yang dihadapi oleh Rasulullah SAW sebagai Rasul ulul 'Azmi dan para salaf as soleh. Namun jelas, tatkala membaca sirah Rasulullah SAW, bagai satu tamparan terhadap diri sendiri betapa tidak layak pun kita mahu mengeluh dengan sedikit ujian yang kita hadapi.

Jamaludin al-Afghani pernah menganggap ujian seperti buang daerah laksana melancong, penjara seperti istirahat dan dibunuh pula merupakan jalan pintas untuk menemui Allah Taala sebagai kekasih yang dirindui. Sungguh dahsyat ibarat ini. Siapakah gerangannya yang mampu menganggap penjara sebagai tempat istirahat dan buang daerah sebagai pakej pelancongan jika ia bukan terdiri dari pejuang-pejuang Islam yang tinggi pergantungannya kepada Allah Taala.

Manisnya berjuang apabila kita merasai keperitannya. Seperti lazatnya orang berpuasa setelah ia melalui detik lapar dan dahaga kemudian ia berbuka dihujung hari. Indahnya hidup orang yang mendapat sijil pengajian setelah berpenat lelah saban tahun mencari ilmu. Begitulah manisnya berjuang biar difitnah dan ditohmah. Biar penat dan lelah segala anggota namun di kala ada kesempatan bertelingkuh bermunajat ke hadhrat Ilahi, terasa diri cukup bertuah.

Selamat berjuang buat semua biarpun payah.

harakahdaily

No comments:

Post a Comment