Monday, August 17, 2009

Ramadhan Menjelang Lagi (2)


golongan wanita tidak melepaskan peluang mencari kelengkapan seperti tudung di Bazar Ramadhan di Kuala Lumpur.


Pelanggan wanita ini seakan sukar membuat pilihan ketika memilih pakaian yang dijual di bazar jualan sempena Aidilfitri berdekatan Terminal Bas Makmur di Kuantan, hari ini. Meskipun baru minggu pertama Ramadan namun orang ramai mengambil peluang sempena cuti hujung minggu untuk keluar membeli pakaian bagi Aidilfitri nanti. Bazar-bazar seperti ini menjadi pilihan mereka kerana selain menyediakan pelbagai jenis pakaian moden serta tradisional, harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding pakaian yang dijual di pusat dan kompleks membeli-belah

Seluruh ummat Islam semestinya mahu mengerjakan ibadah puasa Ramadhan berdasarkan apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT iaitu “La‘al lakum tattaqun” yang bermaksud “dengan berpuasa kamu akan memperolehi darjat ketaqwaan kepada Allah SWT“. Setiap orang Islam mahu mencapai tahap “tattaqun” itu bila tiba Ramadhan dan terutamanya setelah tamat mengerjakan puasa Ramadhan genap satu bulan mengikut perkiraan syara'.

Setiap Muslim berharap untuk sampai kepada satu tahap apa yang Nabi SAW sebut kepada isteri-isteri baginda dan kepada sahabat-sahabat baginda iaitu
“Faya ‘ajaban liman adraka ramada na fala yughfarulah,
iaitu yang bermaksud
“Alangkah hairannya (ajaibnya) bagi orang yang telah sampai umurnya kepada menjelang Ramadan, apabila habis Ramadan hairan kalau dia tidak mengambil kesempatan untuk Allah mengampunkan semua dosa-dosanya”.

Setiap diri Muslim yang beriman dan yakin pada janji Allah akan sentiasa menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.
Perasaan seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat, dan juga perasaan bimbang kerana kurang yakin dengan kemampuan diri untuk melaksanakan segala ibadat dan amalan dalam bulan Ramadhan secara lengkap dan sepenuhnya. Juga berperasaan risau, takut jika segala amalan tidak akan dapat membawa diri ke tahap ketaqwaan yang diharapkan.

Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia. Allah SWT telah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan seluruh ummah, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung, Al Quran iaitu kitab yang diturunkan khusus untuk menunjukkan manusia ke jalan yang lurus dan benar disisiNya.

Ketibaan bulan mulia penuh bersejarah ini sewajarnya disambut dan dirai’kan secara gilang-gemilang, disambut dengan pelbagai persediaan yang cukup lengkap supaya alan dapat mengabdikan diri seikhlas mungkin kepada Allah SWT.

Ketibaan sekali lagi Ramadhan ialah untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan untuk akhirat, bertepatan dengan do’a yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda membaca, yang bermaksud:
“Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)

Betapa besar kurniaan Allah SWT kepada kita pada bulan Ramadhan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdo’a supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadhan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang taat patuh kepada-Nya.

Bulan Ramadhan juga bukan sekadar nikmat, tetapi juga penuh dengan ujian serta peluang melipatgandakan usaha dakwah menjuruskan diri kepada jalan Allah.
Segala amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan dalam bulan Ramadhan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredhaan kurniaan Allah.
Ketika Ramadan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardhu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardhu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardhu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Beberapa persiapan yang digalakkan menjelang ketibaan Ramadhan termasuklah:

1) Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita sebaiknya mengurangkan kuantiti makanan kita dan melebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Juga seeloknya dipastikan pembuangan air besar dan air kecil sentiasa lawas dan tidak bermasalah.

2) Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa Ramadhan, segala jenis amalan solat sunat terutamanya sunat tarawih dan lain-lain lagi.

3) Membiasakan diri bangun pada 1/3 malam untuk bertahajjud, mendekatkan diri pada Allah sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajjud dalam bulan Ramadhan. Ramadhan adalah bulan rukuk dan sujud.

4) Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

5) Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.

6) Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurangkan bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

Dengan persediaan-persediaan tersebut semua ummat akan dapat menyematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardhu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat dalam bulan Ramadhan

Menjelangnya Ramadhan juga akan kelihatanlah berbagai persiapan fizikal dan material serta keadaa/iklim dibuat oleh setiap lapisan masyarakat Islam dalam pelbagai aktiviti hidup kerana Ramadhan itu sendiri adalah satu bulan yang memerlukan penyesuaian langsung dan secara menyeluruh oleh setiap orang yang beragama Islam yang benar-benar beriktikad untuk mengerjakan puasa Ramadhan mengikut perintah Tuhannya sepertimana yang telah difirmankan dalam Al Quran ayat 2:183 itu demi untuk menjadi hamba-hambaNya yang dapat mencapai tahap “tattaqun“ yakni taqwa sepenuhnya kepada Allah SWT.

Namun disebalik segala persiapan sesuai yang dilakukan itu, pastinya terdapat juga dikalangan ummat Islam yang mempersiapkan dirinya secara negatif (atau berlawanan) dalam menghadapi ketibaan Ramadhan hanya kerana khuatir sekiranya Ramadhan itu nanti akan menjejaskan kegiatan lazimnya dalam memenuhi kerakusan hawa nafsu dan godaan syaitan, seperti tidak mengerjakan puasa Ramadhan itu sendiri, dan berbagai lagi aktiviti kemungkaran yang lazim dalam hidupnya. Ramadhan dianggap menggugat “kesejahteraan“ hidupnya dalam segala kemewahan duniawi yang tidak sanggup dihentikan atau dinafikan selama satu (1) bulan.

terima kasih diatas apa jua rujukan yang telah dibuat

No comments:

Post a Comment