oleh Hamdan M Salleh
Pemilihan 2010 nyata semakin menarik perhatian bukan sahaja ahli KEADILAN malahan rakyat Malaysia secara keseluruhanya terutama kerana kali ini sistem Satu Ahli Satu Undi akan dan telah dilaksanakan.
Semua 400,000 ahli KEADILAN kini boleh menentukan halatuju parti tersebut dengan memilih barisan kepimpinan yang mereka inginkan baik di Cabang mahupun di peringkat tertinggi parti.
Ini suatu peluang kepada ahli untuk menjadi pemangkin politik baru serta menentukan arah perjuangan KEADILAN terutama jika ingin melihat hasrat menuju ke Putrajaya bersama Pakatan Rakyat tercapai.
Setakat berakhirnya Mesyuarat Agung Tahunan Cabang pada 3 Oktober 2010, telah tiga tokoh KEADILAN menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden bagi Pemilihan 2010.
Bermula dengan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Zaid Ibrahim, disusuli pengumuman Naib Presiden, Azmin Ali di Sabah serta terbaru penawaran diri seorang lagi Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub menerusi sidang medianya di Kampung Baru.
Dua calon lagi yang telah layak iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengarah Strategik KEADILAN, Tian Chua nampaknya belum menyatakan hasrat secara rasmi sama ada untuk turut memeriahkan pemilihan Timbalan Presiden atau tidak.
Pemilihan Timbalan Presiden kali ini adalah amat penting kepada KEADILAN dalam menjamin kesinambungan kepimpinannya.
Persoalan tentang pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal terjawab menerusi pemilihan kali ini. Ini kerana tokoh yang menang dan dilantik sebagai Timbalan Presiden KEADILAN akan memikul tanggungjawab yang amat berat kerana untuk tugas utama untuk tiga tahun mendatang ini adalah untuk membawa KEADILAN ke arah yang lebih kukuh serta perlu sentiasa bersedia untuk menjadi pengganti Ketua Umum serta Presiden parti.
Ini tentunya bukan satu tugas yang mudah. Semestinya beliau akan dibandingkan dengan Anwar. Perbandingan ini tentunya berlaku dalam semua segi terutama dari segi personalitinya, idealistiknya malah dalam semua aspek. Bukan mudah untuk menggantikan pemimpin yang sebegitu. Lebih mudah menjadi pengganti kepada pengganti tokoh besar itu.
Jika dilihat kepada calon-calon yang telah menawarkan diri, nyata mereka semua mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing. Andainya pencalonan dari 204 Cabang yang MATC telah disahkan menjadi kayu ukur, sudah tentu Azmin Ali menjadi pilihan utama kerana beliau jauhmendahului dengan 102 pencalonan diikuti Datuk Zaid Ibrahim (33 pencalonan) serta Mustaffa Kamil Ayub (17 pencalonan).
Tan Sri Khalid Ibrahim dan Tian Chua yang belum menawarkan diri sebagai calon masing-masing mendapat 4 dan 5 pencalonan. Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah yang mendapat 3 pencalonan tidak mungkin bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden. Fuziah Salleh serta Nurul Izzah Anwar pula mendapat 1 pencalonan dan tidak melepas had 2 pencalonan yang ditetapkan.
Pemilihan 2010 jelas berbeza. Tiada lagi pucuk kepimpinan ditentukan oleh perwakilan. Semua 400,000 ahli KEADILAN kali ini adalah perwakilan. Ini tentu lebih merumitkan namun sangat baik dari segi amalan demokrasi tulen selain dapat meminimakan politik wang.
Amat sukar meramalkan kehendak ahli secara individu. Pencalonan mungkin boleh dijadikan petunjuk tetapi tidak kayu ukur yang baik. Jika MATC menjadi ukuran, situasi berbeza dapat dilihat. Umpamanya, Azmin Ali telah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden oleh Cabang Petrajaya dengan menewaskan Mustaffa Kamil Ayub tetapi dengan kelebihan hanya satu undi di mana ahli yang turun mengundi adalah seramai 117 orang.
Cabang Putrajaya menyaksikan Mustaffa Kamil Ayub telah dipilih oleh ahli Cabang berkenaan untuk bertanding Timbalan Presiden. Jadi undi secara individu di sini sekiranya kedua-dua Cabang digabungkan tentunya memenangkan Mustaffa Kamil Ayub.
Tetapi jika di corak pengundian ini di Selangor di mana terdapat 150,000 ahli KEADILAN situasi tentunya amat berbeza. Tambahan pula Azmin Ali adalah Pengerusi Pimpinan Negeri Selangor.
Jumlah keluar mengundi di Selangor ternyata mengejutkan dan tidak konsisten. Cabang Kapar yang mempunyai keanggotaan seramai 5,000 anggota menyaksikan lebih 4,000 keluar mengundi. Lebih 2,000 dari 7,000 ahli KEADILAN Cabang Hulu Selangor pula keluar mengundi bagi MATC.
boleh baca selanjutnya di
No comments:
Post a Comment