Wednesday, September 22, 2010

Menghidupkan Proses Demokrasi





Proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada kali ini (tahun 2010) untuk memilih barisan kepimpinan di peringkat Cabang (atau Bahagian) dan di peringkat Pusat bagi tempoh 2010-2013 benar-benar mencerminkan representasi sebenar rakyat Malaysia, mencerminkan sebuah parti yang rupa dan wajahnya Malaysia di mana setiap anggota berhak mengundi - satu anggota satu undi.

Dari lebih kurang 400 ribu ahli PKR yang berdaftar, 60% ialah pengundi Melayu, 23% pengundi India, 12% pengundi Cina dan 15% pengundi dari kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak, kesemuanya berhak menentukan kepemimpinan parti.

Selangor mempunyai keanggotaan seramai 108 ribu ahli atau 30 peratus, diikuti oleh Sabah (66 ribu), Perak (33 ribu), Pulau Pinang (31 ribu), Sarawak (22 ribu) dan Kuala Lumpur (17 ribu) yang masing-masing sedang mencorakkan kepemimpinan di peringkat Cabang (Bahagian), Negeri dan Pusat.

Kerusi Presiden PKR yang kini disandang oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bakal menyaksikan dua pencalonan yang layak, iaitu DS Dr Wan Azizah sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR. Datuk Seri Anwar sudah layak untuk bertanding jawatan pada kali ini dan akar umbi parti telah memilih untuk mencalonkan beliau walau pun beliau telah menyatakan hasrat untuk tidak menerima pencalonan.

Setelah YB Senator Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR mengumumkan pada 14 September lalu bahawa dia tidak akan bertanding mempertahankan jawatnnya dalam pemilihan pada kali ini, maka kerusi Timbalan Presiden menjadi rebutan, dengan menyaksikan 4 orang calon yang layak bertanding, iaitu Azmin Ali, Datuk Zaid Ibrahim, Mustaffa Kamil Ayub dan Tian Chua. Pertandingan jawatan ini adalah dijangkakan satu lawan satu iaitu diantara Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim manakala yang 2 orang lagi mungkin akan menumpukan perhatian untuk merebut jawatan Naib Presiden, dimana 4 kerusi dipertandingkan.

Seramai 15 individu layak bertanding untuk mengisi 4 kerusi Naib Presiden.
Mereka yang layak adalah Tan Sri Khalid Ibrahim, Tian Chua, Chua Jooi Meng, Fuziah Salleh, Dr. Lee Boon Chye, Dr. Mansor Othman, Azmin Ali, S. Manikavasagam, Sivarasa Rasiah, Zaid Ibrahim, Dr. Xavier Jayakumar, Mustaffa Kamil Ayub, Yahya Shaari, Nurul Izzah Anwar dan Samsul Iskandar Md Akin.

Sebanyak 67 Cabang dari 84 Cabang menyaksikan pertandingan sempena musim pemilihan kali ini. Seramai 74 orang calon layak bertanding untuk mengisi 20 kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR. Ini ialah bilangan calon yang layak bertanding setakat ini, samada mereka mahu bertanding atau tidak, itu terpulang kepada masing-masing calon. .

Jawatankuasa Pengelola Pemilihan (JPP) PKR turut membuka peluang seluas-luasnya kepada semua calon menggunakan portal rasmi parti untuk berkempen. Tidak cukup setakat itu saja, Jawatankuasa juga bercadang menganjurkan forum dan debat supaya pengundi mengundi berasaskan politik maklumat. Semua anggota parti (pemilih) akan berpeluang berinteraksi dan bermaklumat dengan semua calon-calon.

PKR mahu menjadikan pemilihan kali ini sebagai pelantar ujian bagi menghadapi musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi. Pembelajaran ini benar-benar asli kerana parti pelantarkan sistem pemilihan ini seolah-olah mereka (pengundi) menghadapi pilihan raya yang sebenar.

Ada isi borang calon, isi borang penamaan calon, bayar deposit, pamer borang penamaan calon, tempoh bantahan, bantahan diterima, kertas undi dicetak dengan tertera nama calon, mengundi dan keputusan diumumkan.

Pemilihan kali ini adalah berasaskan maklumat, menjadikan PKR benar-benar mengiktiraf kuasa undi setiap anggota parti. Menurut Setiausaha Agong PKR, ianya adalah suatu proses pembelajaran di mana proses pemilihan adalah secara terbuka dan bebas tanpa naungan atau pengaruh daripada mana-mana pihak, dan ini benar-benar menghidupkan proses demokrasi dalam sebuah parti politik di Malaysia.

No comments:

Post a Comment