Sunday, September 26, 2010

Hendaklah Kamu Zuhud Dengan Dunia

Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis, telah membuat perbandingan antara dunia dan akhirat, antara kedua-duanya bagaikan seseorang yang mencelupkan jari-jarinya ke dalam lautan, maka dunia (seperti air) akan melekat pada jari-jarinya itu. Namun demikian baginda SAW tidak menganjurkan agar manusia meninggalkan dunia sama sekali.

Nabi SAW juga bersabda, lebih kurang maksudnya, “Jika kamu hendak dikasihi Allah maka hendaklah kamu zuhud dengan dunia.” Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa untuk mendapat kasih sayang Allah SWT maka yang perlu kita perbuat di dunia ialah zuhud kepada dunia. Yang dikatakan zuhud itu bukanlah boleh diukur kepada miskin atau kaya.

Sesetengah orang berpendapat bahawa miskin itu zuhud dan kaya itu tidak zuhud. Tidak sebegitu dan tidak semestinya. Malah ada juga yang menyatakan zuhud itu menolak atau membuang dunia, satu tafsiran yang perlu diperbetulkan. Zuhud itu terletak dihati. Dikatakan zuhud bila hati tidak cinta dunia. Hanya bahawasa nya dunia itu dijadikan sebagai saluran untuk membesarkan dan mengagungkan Allah SWT. Jika kaya, kaya digunakan untuk jalan Tuhan. Biar pun miskin hatinya tetap dengan Tuhan dan tidak terikat dengan dunia. Maksudnya disini ialah orang zuhud bukanlah menolak dunia. Dunia itu diambil sekadar keperluan dan selebihnya digunakan dijalan Allah SWT.

Diriwayatkan bahawa pernah Sayyidina Ali pergi melihat sebuat mesjid dan dilihatnya disitu ada halaqah pengajian. Yang mengajar ialah Hasan Basri, seorang remaja belasan tahun umurnya walhal orang-orang yang mendengar itu kebanyakannya orang dewasa, yang lebih tua. Timbullah niat dihati Sayyidina Ali untuk menguji apakah Hasan Basri benar-benar layak mengajar. Ditanyakannya kepada Hasan Basri, “apakah yang boleh menyelamatkan manusai?”. “Zuhud” jawab Hasan Basri secara spontan. Maka yakinlah Sayyidina Ali yang Hasan Basri itu mempunyai kelayakan untuk mengajar hanya kerana dapat menjawab dengan tepat soalan beliau. Pengajaran daripada kisah ini dapatlah kita ketahui bahawa zuhud adalah kunci kepada keselamatan manusia. Manakan tidak, hadis diatas juga telah meletakkan orang zuhud sebagai orang kesayangan Allah SWT. Sudah pasti orang kesayangan Allah SWT itu akan terselamat di dunia dan juga di akhirat. Selama mana seseorang itu oleh zuhud selagi itulah dia akan terselamat.

Firman Allah SWT, “…Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya…” (Quran 33:4). Hati manusia ini kalau lah tanpa zuhud, nescaya akan diisi dengan cinta dunia. Amat malang jika hati terarah kepada cinta dunia maka tiadalah lagi keselamatan buat manusia itu. Benarlah sabda Nabi SAW tentang dunia ini iaitu: “Cinta dunia adalah kepala bagi segala kejahatan.”

Daripada cinta dunia lahirlah berbagai kejahatan lain seperti hasad dengki, pemarah dan sombong. Semua ini bukan saja akan merosakkan empunya diri tetapi boleh juga merosakkan orang lain. Hakikatnya krisis dan perpecahan ummah yang berlaku hari ini adalah disebabkan oleh penyakit cinta dunia ini. Selagi penyakit cinta dunia ini tidak diungkai daripada hati manusia, selagi itulah manusia akan terus berkrisis dan bersengketa. Tidak akan aman dunia ini dengan adanya manusia-manusia yang bersarang cinta dunia dihati mereka.

Bila dikaji dan diteliti hadis ini, orang zuhud itu disayang Allah SWT kerana hati orang zuhud itu sudah tidak terikat lagi dengan dunia. Maksudnya, bila dunia sudah masuk ke hati maka rasa-rasa dengan Tuhan akan menjauhi. Tapi bila dunia itu sudah dibuangkan daripada merajai hati maka mudahlah rasa-rasa dengan Tuhan itu masuk dan menguasai hati. Justeru selari lah rasa hati seseorang itu dengan kehendak-kehendak Tuhan, Allah SWT. Jadi lah dia itu orang yang memahami kehendak dan peranan Tuhan dalam kehidupannya.

Zuhud itu mengambil dunia sekadar perlu. Dan selebihnya digunakan untuk jalan Tuhan. Itu ilmunya tetapi hendak berbuat tidaklah semudah yang diceritakan. Ianya perlukan mujahadah, kena benar-benar mengekang nafsu daripada berkehendak kepada yang tidak perlu. Kena benar-benar merasai kesusahan orang lain agar mudah harta dunia itu dialihkan kepada orang yang susah. Kena benar-benar ada jiwa untuk memperjuangkan Tuhan baru lah dunia itu akan disalurkan untuk perjuangan fisabilillah. Kuat mujahadah, maka lemahlah nafsu mencintai dunia. Sebaliknya bila lemah mujahadah jadilah nafsu itu kuat dalam mencintai dunia.

Demikian juga gambaran yang dberikan oleh Nabi SAW tentang dunia yang bagaikan penjara bagi orang yang beriman, yang bermaksud kehidupan manusia ini adalah mengikut peraturan yang mesti dipatuhi dan tidak boleh lepas bebas. Sebaliknya dunia bagaikan syurga bagi orang yang mengingkari kewujudan Allah SWT kerana menganggap dunia adalah tempat yang menyenangkan dan bebas hidup tanpa ada batasan yang mengikatnya.

Nabi SAW menyatakan dunia dibahagikan kepada tiga bahagian, satu pertiga dimakan, satu pertiga dipakai dan satu pertiga lagi disedekahkan; hanya yang ketiga ini akan dipetik hasilnya.

Persoalannya, dapatkan manusia memisahkan dirinya sama sekali daripada harta dan bentuk kesenangan duniawi? Bukankah para sahabat utama Rasulullah SAW seperti Abu Bakar, Uthman dan Abdul Rahman bin Auf adalah orang kaya. Kezuhudan mereka ini ternyata tidak menghalangnya untuk mencari kekayaan duniawi.

Maka itu zuhud bukan bererti semata-mata tidak mahu memiliki harta dunia tetapi zuhud sebenarnya adalah pemikiran yang tidak mudah dipengaruhi oleh kesenangan duniawi dalam tujuan mengabdikan diri semata-mata kepada Allah SWT.

Pengertian zuhud seperti ini amat dekat dengan maksud firman Allah SWT yang bermaksud:
“ (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Quran 57:23)

Justeru, pemilikan harta benda tidak dilarang tetapi harta tersebut tidak boleh mempengaruhi seseorang dalam mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Lebih mendalam lagi, makna zuhud dalam kaitannya dengan akhlak Islamiah ialah bagaimana sikap batin seseorang itu dalam menghadapi dunia ini. Dalam konteks kehidupan sosial contohnya, bagaimana kezuhudan seseorang itu dapat menyelamatkan manusia daripada sesuatu yang boleh menghancurkan kehidupannya.

Hakikat pemaknaan zuhud dalam kehidupan sosial ialah sikap protes seseorang terhadap dunia seperti ketempangan sosial, politik dan ekonomi. Kezuhudan Abu Dzar (sahabat Nabi) yang memprotes kehidupan mewah pemerintahan Khalifah Uthman boleh diberi makna sebagai gerakan protes sosial.

Pemaknaan zuhud sebagai reaksi terhadap situasi setempat yang bobrok dan penuh kemaksiatan ini juga yang mempengaruhi Hasan al-Basri, Rabiah al-Adawiyah, Ibrahim Adham, Al-Ghazali sehingga bertindak mengasingkan diri, yang dianggap sebagai satu protes.

Demikian juga konsep kezuhudan Al-Farabi yang menitikberatkan kepada intelektual dan analisis. Seseorang itu dapat mencapai makrifat Allah SWT apabila mampu meningkatkan kualiti intelektualnya. Konsep ini sesuai dengan kehidupan intektual Islam pada masa itu yang sedang di puncak kejayaan.

Jelas bahawa pemikiran ulamak sufi, baik ulamak klasik atau pertengahan tentang zuhud dapat difahami sebagai akhlak Islam dan gerakan sosial yang dilihat berbeza-beza sesuai dengan konteks sosial pada zaman masing-masing.

Perilaku zuhud menurut Prof. Dr. Hamka, ia tidak bererti eksklusif daripada kehidupan duniawi kerana Islam menganjurkan semangat berjuang, berkorban dan bekerja keras. Bagi Hamka, kekayaan hakiki ialah mencukupkan apa yang ada, sudi menerima walaupun banyak, sebab ia nikmat dari Allah SWT. Dan tidak pula kecewa jika jumlahnya berkurang, sebab ia semua daripada Allah SWT.

Jika kekayaan melimpah untuk diri, ia perlu digunakan untuk membantu dalam perkara kebajikan dan membina keteguhan hati beribadah kepada Allah SWT. Harta tidak dicintai kerana itu adalah harta. Harta hanya dicintai sebab itu adalah pemberian Allah SWT. Terlampau menumpahkan cinta kepada harta benda semata-mata, menyebabkan hilang pertimbangan, sehingga hilang cinta kepada bangsa, tanah air, agama dan Allah SWT.
Zuhud bukan menghindar kenikmatan duniawi tetapi tidak meletakkan nilai yang tinggi padanya. Dan inilah definisi zuhud daripada Rasulullah SAW.

Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal, bukan pula mensia-siakan harta, tetapi zuhud dalam dunia ialah engkau tidak memandang apa yang di tanganmu itu lebih utama daripada apa yang ada di sisi Allah SWT. Kekayaan, kekuasaan da kemasyuran semuanya berubah, tidak tetap dan akhirnya anda harus ditinggalkan. Lalu apa yang ada di sisi Allah SWT? RahmatNya yang meliputi segala sesuatu.

“(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” (Quran 16: 96)

RahmatNya meliputi apa saja yang dapat membantu manusia memperoleh keredhaan Allah SWT, yang mendekatkan manusia kepada Dia termasuk akhirat, walaupun hal-hal tersebut nampak seperti urusan-urusan termasuklah perdagangan, pertanian dan industri, dll.

Kerajinan yang ditujukan bagi mendapatkan nafkah untuk keluarga, bersedekah untuk kesejahteraan orang miskin dan melarat, dan menghindar diri daripada kebergantungan kepada bantuan orang lain adalah sifat-sifat yang terpuji yang menjurus kepada kezuhudan.

Semua kegiatan ini dimaksudkan untuk akhirat, walaupun ada yang menganggapnya untuk dunia. Sebaliknya, latihan-latihan disiplin kerohanian yang betentangan dengan sunnah, walaupun dilakukan dengan penuh kekhusyukan dan pengabdian, dihitung untuk dunia sahaja. Ini kerana tindakan itu menyebabkan pelakunya terasing daripada Allah SWT dan tidak membawa manusia lebih dekat kepadaNya.

Demikianlah kesimpulannya bahawa orang zuhud ialah orang yang hidup di dunia, tetap tidak meletakkan hatinya di dunia. Mereka bekerja di dunia untuk dunia dan juga untuk akhirat.

Sikap zuhud dapat memberikan ketenangan kepada seseorang. Ianya adalah benteng dari sikap sombong, kikir, serakah dan bermewah-mewahan. Kehancuran seseorang dan bahkan sebuah bangsa boleh disebabkan oleh keempat-empat sikap tersebut.

Bagaimana caranya agar kita boleh zuhud? Imam Al-Ghazali mengesyorkan tiga cara.

Pertama, memaksa diri untuk mengendalikan hawa nafsunya, mencegah dari cinta dunia.

Kedua, sukarela meninggalkan kemewahan dunia kerana dipandang kurang penting.

Ketiga, tidak merasakan zuhud sebagai beban, kerana dunia dipandang bukan apa-apa dan tidak perlu bagi dirinya.

Sementara itu, Ibrahim bin Adham pernah ditanya oleh seorang lelaki, “Bagaimana cara engkau mencapai darjat orang zuhud?” Ibrahim menjawab,”Dengan tiga cara, Pertama, aku melihat kubur itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemukan orang yang dapat mententeramkan hatiku di sana. Kedua, aku melihat perjalanan hidup menuju akhirat itu amat jauh, sedangkan aku tidak memiliki cukup bekalan. Ketiga, aku melihat Robb Yang Maha Kuasa menetapkan satu keputusan atas diriku, sedang aku tidak punya alasan untuk menolak keputusan itu.” (Abu Ishak Ibrahim bin Adham Al Balkhi)

1 comment:

  1. "Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat." (Quran 13:26)

    ReplyDelete