Oleh Sidiqin Omar
http://suara-keadilan.com/news-section?t=2351
KUALA KUBU BHARU 20 Apr - Rakyat negeri Selangor kini semakin yakin dengan pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berdasarkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan.
Penduduk di daerah Hulu Selangor kini dapat menikmati hasil melalui polisi dan program yang dijalankan kerajaan negeri.
"Kita datang ke sini bukannya untuk melancarkan sesuatu, tetapi untuk menuai hasil yang kita semai semenjak dua tahun lalu," kata beliau pada Majlis Perasmian Ladang Dole Sebiro di Bernam Jaya.
Ladang pisang seluas 500 ekar ini merupakan projek perintas bagi daerah Hulu Selangor, dan kerajaan negeri dengan kerjasama firma perladangan antarabangsa, Dole Sebiro bercadang untuk menambah keluasan ladang tersebut sehingga 1,000 ekar.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, Exc Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaacob Sapari serta Presiden Dole Asia, James Prideaux.
"Tugas yang diamanahkan kepada kami adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
"Daerah Hulu Selangor mempunyai prospek ekonomi yang baik berdasarkan lokasinya yang strategik," kata Khalid.
Dengan kewujudan projek ladang ini, penduduk di Bernam Jaya dan kawasan sekitarnya akan dapat menikmati hasil dari limpahan ekonomi dari program yang dijalankan kerajaan negeri.
Dole Inc merupakan syarikat pengeluar pisang dan buah-buahan terbesar di dunia yang menguasai saluran pasaran dan teknologi pertanian dunia.
Dole Sebiro merupakan satu-satunya wakil pengeluar yang dilantik Dole Inc di Malaysia melalui hasil kerjasama dengan syarikat tempatan.
Sehingga kini, syarikat memiliki ladang seluas 500 hektar di Hulu Selangor yang telah mengambil seramai 200 orang pekerja yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan rakyat tempatan.
Menjelang Jun 2010, dijangkakan Ladang Dole di Hulu Selangor mampu mengeluarkan hasil sebanyak 20,000 kotak pisang dalam tempoh seminggu.
Hasil tersebut bukan sahaja akan dibekalkan ke pasaraya di sekitar Lembah Klang, malah produk tempatan ini akan dieksport secara meluas ke Indonesia, Singapura, Hong Kong dan negara-negara Asia Tengah.
Ini sekaligus akan meletakkan Malaysia sebagai pengeluar utama pisang dalam jangka masa panjang.
Usahasama Ladang Dole Sebiro dan PKNS adalah salah satu langkah proaktif oleh Selangor untuk meningkatkan nilai pulangan dari tanah-tanah milik Kerajaan Negeri.
Melalui usahasama ini, Dole Sebiro diberikan pajakan pendek bersyarat agar tanah dapat diusahakan dan membawa pulangan dengan membayar pajakan kepada PKNS.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri membantu mewujudkan
kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman dan peluang-peluang pekerjaan baru untuk masyarakat setempat yang kian terpinggir.
Kerjasama dengan Dole Inc juga menandakan usaha serius Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan aplikasi pertanian moden untuk menembusi pasaran dunia.
Anwar melalui Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor turut mengambil inisiatif untuk duduk berbincang dengan Dole Inc bagi mengenal pasti kerjasama yang dapat diambil terutamanya melalui perkongsian bijak dengan Kerajaan Negeri.
Aspek-aspek tumpuan yang akan ditekankan adalah teknologi pertanian moden, strategi pemasaran, latihan atau peningkatan keupayaan dan lain-lain aspek penting.
No comments:
Post a Comment